Telahku tuai segala janji-janji,
pada dia dan juga mereka,
namun apakah benar kata-kata,
yang telahku ukirkan ini,
atau hanya sekadar ungkapan sementara?
Andai Tuhan memberi,
pasti akanku bawa dirimu menyelami hatiku,
agar kau mengerti dan fahami,
betapa sucinya kasihku,
jangan diragu.
Pernahku cuba mempersoal diri,
mengapa ini yang terjadi,
sehingga bertahun lamanya,
aku menyepi,
tanpa sebarang koreksi.
Rupanya aku menyedari,
tiada apa yang menghalang,
takdir perjalanan hidupku ini,
selain dosa,
yang penuh kehitaman.
Tahukah engkau,
apakah dia kebahagiaan yang abadi,
yang selalu ku dambakan
di dalam hidupku ini.
Agar hendaknya,
di akhir pernafasanku,
segala dosa-dosa yang membelenggu,
telahpun diampunkan oleh-Nya,
sebersih-bersihnya.
Agar di pertemuan terakhir,
ketika berhadapan dengan Sang Pencipta,
aku datang dengan hati yang sejahtera,
dengan hati yang suci murni,
tanpa calaran dosa yang menghantui.
Sering aku bertanya,
ke manakah ujianku pergi,
mengapa tidak kau menyinggahi hidupku ini,
kerana telah lamaku merindui,
rasa diri untuk diuji.
Lalu hatiku mula risau,
adakah Allah tidak lagi menyayangi diri,
dek kerana dosa yang meliputi,
rupanya ujianku telah sampai,
tidak jauh,
cuma dalam ruangan hati.
Keperitan perasaan,
keruntuhan emosi,
kerendahan motivasi,
kehilangan kasih sayang,
kesemuanya itu membuatkan hatiku merundum,
yang bagaikan retak menanti belah,
segala-galanya menjadi resah.
Sungguh sakit tak terkata,
pabila ujian melanda jiwa,
hingga tidak tergambarkan dengan cerita,
betapa pilunya hati merasa.
Terima kasih Tuhan,
dengan segala ujian,
moga dengan ujian-Mu ini,
dapat menghapuskan segala dosa durjana,
yang telahku cipta,
sepanjang rentetan masa.
Tiada apa lagi yangku harapkan darimu,
selain doa yang jitu,
selain benar-benar menjaga diri,
di sepanjang penantian ini,
agar moga dapatku laksanakan segala janji-janji,
yang pernah aku peri,
kerana aku bukanlah pemungkir janji,
cuma terkadang,
aku terjatuh dalam kesilapan,
yang aku akhirkan dengan sesalan.
Maaf untuk segala kejelekan,
yang pernah aku tunjukkan,
ku harap segalanya nanti,
berjalan lancar dengan takdir Ilahi
yang Dia redhai.
No comments:
Post a Comment