Antara perkataan terakhir yang diucapkan Nabi Muhammad S.A.W sebelum baginda wafat adalah:
"Telah aku tinggalkan kepadamu dua perkara. Kau tidak akan sesat selama berpegang kepada keduanya, (iaitu) Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya."
(Hadtih Riwayat Al-Baihaqi)
Mungkin kau pernah mendengar hadith ini berulang kali, sehingga ada yang berjaya menghafal matan hadith ini. Namun, sejauh manakah penghayatan kau dan bagaimanakah caranya kau mempraktikkan perkataan Nabi ini?
Di dalam Islam, ada tiga pecahan dalam pembelajaran untuk menjadi seorang Islam atau Mukmin yang bertaqwa di mata Allah dan menjadi seseorang yang tinggi darjatnya di sisi Allah iaitu Aqidah, Syariah dan Akhlak atau disebutkan sebagai Tasawwuf atau Ihsan atau lebih tepat Tazkiyatun Nufus.
Namun dalam beramal, segala pembelajaran perlulah digabungkan untuk mendapatkan amal soleh yang sempurna. Ini bermakna ketiga-tiga pembelajaran yang disebutkan perlu digabungkan di dalam suatu amalan iaitu dengan memasukkan ketiga-ketiga elemen aqidah, syariah dan ihsan dalam suatu amalan.
Contohnya: Untuk melakukan solat.
1. Melalui aqidah: Mestilah ikhlas kerana Allah S.W.T semata-mata.
2. Melalui Syariah: Mestilah tepat mengikut kaedah yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad S.A.W 'pure' 100%.
3. Melalui Ihsan: Meletakkn kekhusyukkan di dalam hati.
Ramai orang mungkin berjaya melakukan amal dan melepasi ciri yang pertama iaitu aqidah, ikhlas kerana Allah. Namun ramai yang kecundang dalam ciri yang kedua dan ketiga. Kata Ibnu Kathir, 2 syarat amal soleh yang diterima Allah adalah:
1. Ikhlas kerana Allah S.W.T
2. Ittiba' As-sunnah. (Mengikut Nabi)
Kalau kau ikhlas kerana Allah, tapi kau tak ikut Nabi, amal kau tak akan diterima Allah. Begitu juga kalau kau ikut Nabi, tapi kau tak ikhlas kerana Allah, amalan kau juga tak akan diterima.
Kerana itulah bid'ah(perkara baru) di dalam agama itu dilarang keras oleh Islam. Ianya demi menjaga kualti amal soleh yang dibawa oleh Nabi Muhammad S.A.W, Rasul junjungan kita. Pendek kata, apa yang Nabi buat, kita buat. Apa yang Nabi tak buat, kita tak payah buat. Sebab itu ilmu itu sangat penting, supaya kita lebih cakna dalam beribadah kepada Allah.
Allah hantarkan Nabi kepada kita untuk diikuti sepertimana yang disebutkan dalam Surah Ali-Imran ayat 31 yang bermaksud:
"Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."
Dan kalau kau amati apa yang tertulis dalam Al-Quran, terdapat banyak kaum-kaum yang ditindas dan dikenakan pelbagai jenis hukuman oleh Allah S.W.T seperti ribut taufan, diterbalikkan bumi, banjir besar dan lain-lain bencana hanya disebabkan kaumnya tidak mengikut Nabi mereka.
Malah tanpa sedar ada juga yang kecundang dalam ciri yang pertama kerana belum sempurna kekuatan aqidah yang dipegangnya. Maksud aku, kekuatan cinta kau masih belum kuat dan kukuh kerana ada sedikit keraguan yang tidak sepatutnya ada pada orang-orang yang mengaku dirinya beriman.
Ada 3 perkara yang akan membuatkan seseorang itu berubah dan bertindak serta istiqomah di atas perubahannya iaitu:
1. Ancaman
Seseorang itu akan berubah disebabkan ancaman.
Contoh: Seorang kanak-kanak mendapat keputusan gagal,lalu dimarahi ayahnya sekaligus memberi amaran, "Kalau kau dapat E lagi dalam peperiksaan akan datang, ayah rotan kau dengan hanger." Sekaligus, anaknya mengambil buku untuk terus belajar.
2. Ganjaran
Seseorang itu akan berubah disebabkan ganjaran.
Contoh: Seorang kanak-kanak yang malas belajar, tetapi dikhabarkan oleh ayahnya, "Kalau kau dapat A dalam peperiksaan akan datang, ayah akan bagi kau i-Phone 7s Plus Black Edition." Sekaligus, anaknya cepat-cepat belajar untuk mendapatkan i-Phone.
3. Cinta
Seseorang itu akan berubah disebabkan cinta.
Contoh: Disebabkan sayangnya kanak-kanak itu kepada Ayah dan Ibunya, dia belajar bersungguh-sungguh dengan tujuan supaya dia mendapat kerja yang hebat demi menyara mereka apabila besar kelak.
Begitulah kita sebagai manusia yang hidup di dunia ini demi mendapatkan akhirat.
Allah memberikan ancaman Neraka Jahannam kepada kita, agar kita tidak melakukan perkara-perkara yang mungkar. Allah juga memberikan ganjaran Syurga Firdaus kepada kita, agar kita berlumba-lumba untuk melakukan amal soleh.
Tetapi pada aku, kekuatan yang paling hebat untuk seseorang itu berubah, bertindak dan istiqomah adalah cinta.
Dengan cinta, kau akan buat sesuatu benda tu dengan bersungguh-sungguh. Dengan cinta, kau akan tinggalkan sesuatu benda dengan sungguh-sungguh. Dengan cinta, kau tak akan hiraukan apapun pandangan orang lain terhadap kau, asalkan kau tetap dengan cinta kau. Maksud aku bukan cinta budak-budak sekolah a.k.a cinta monyet atau cinta yang kabur tanpa tujuan atau cinta yang tidak jelas. Cinta yang aku maksudkan adalah cinta sepenuh hati. Cinta yang tak berbelah bagi. Cinta yang sejati dan setia.
Sebab tu kalau kau tengok, ada orang yang sanggup bunuh diri kerana ditinggalkan oleh kekasihnya, kerana apa? Kerana cinta. Tapi bukan bunuh diri yang aku nak sampaikan, aku nak kau faham apa itu cinta yang sebenar-benar cinta. Hanya kerana cinta sahaja yang akan buatkan kau lakukan apa sahaja demi cinta.
Itulah yang hilang lenyap dalam jiwa orang-orang Islam marcapada ini. Sebab tulah kau akan nampak orang macam-macam jenis orang dalam dunia ni yang bertindak seakan-seakan dia itu bukanlah orang yang beriman, sedangkan dalam tak sedar, dia memegang title "Islam". Sebab tulah tak hairan, kalau kau boleh selisih dengan perempuan yang berpurdah bermain catur di hadapan lelaki ajnabi, dengan beberapa kumpulan Usrah yang mengambil kesempatan untuk berikhtilat lelaki dan perempuan dalam perbincangan mereka, dengan wanita-wanita yang berpakaian seperti telanjang, dengan kawan-kawan yang tidak gemar berbicara soal agama, malah diejeknya pula kita sebagai ustaz, dengan orang-orang yang membenci kata-kata nasihat yang berulang, lalu dituduhnya kita dengan ustaz jadian, dan banyak lagi watak-watak yang tidak langsung mencerminkan dia itu adalah seorang Islam.
Sebab itu kita berpecah belah. Sebab itu, hidup kita kucar-kacir. Sebab itu kita tak pernah maju, kita hina dibidang apa sekalipun. Sebab itu kita layu. Sebab itu kita bergantung segala perkara dengan orang kafir, dengan orang Yahudi, dengan orang Kristian, ekonomi kita dipegang oleh mereka. Sebab itu masyarakat kita hanya mampu berada pada tahap miskin malah ada yang sampai ke tahap miskin tegar. Sebab orang-orang kaya kita, tidak mahu memberikan sedekah ke jalan Allah. Masing-masing sibuk membeli barang-barang mewah untuk kepuasan.
Kerana apa? Kerana cinta telah hilang lenyap berterbangan hilang entah ke mana. Kerana cinta kita semua telah berbelah bagi, telah berpindah cinta kita kepada cinta yang salah, cinta kita telah menjadi milik dunia.
Sedangkan Nabi telah berpesan kepada kita, tidak beriman seseorang selagi dia tidak mencintai Allah dan Rasul-Nya melebihi orang lain. Ada segilintir Ulama' yang berpandangan tidak sempurna Iman seseorang, tapi dalam matan hadith yang sebenar, tidak beriman, bukan tidak sempurna iman seseorang. Jadi, maksudnya, selagi kau tak mencintai Allah dan Rasul melebihi daripada orang lain, kau masih belum digelarkan sebagai orang yang beriman.
Sebab itu cinta kepada Allah dan Rasul itu penting. Dengan cinta, kekuatan Aqidah kita akan lebih kuat malah superb. Seringkali aku mendengar kerajaan sibuk mempromosikan perpaduan dengan pelbagai kempen, tetapi solusinya mudah sahaja, jika kuat Aqidah dan cinta kita kepada Allah, percayalah segala perkara akan menjadi lancar dan kita akan memegang dunia ini. Kerana dengan Aqidah dan cinta, kita semua akan bersatu. Sebab apa aku cakap dunia akan dapat kita pegang dengan Aqidah dan cinta yang kuat?
Al-Quran seringkali menjadi penasihat dan panduan yang terbaik. Pernah baca ayat Al-Quran yang menyebutkan "Min Qablikum La'allakum Tattaqun"? Yang maksudnya, "...daripada orang-orang yang sebelummu, agar kamu bertaqwa." Allah seringkali menyeru kepada kita untuk mencontohi orang-orang yang sebelum daripada kita, kerana banyak pelajaran yang boleh kita dapatkan daripada mereka. Dari mana contoh yang boleh kita dapatkan untuk mencontohi mereka(Nabi Muhammad dan para Sahabat)? Ya, dari Ilmu. Rajinkanlah diri untuk mendapatkan ilmu dari sudut apapun.
Renungkan kekuatan Aqidah dan cinta para Sahabat terhadap Allah dan Rasulullah.
Lihat bagaimana sahabat Rasulullah, seorang wanita! yang bernama Sumayyah sanggup mati dibunuh kerana mempertahankan Aqidah, iman kepada Allah kerana cinta yang terlalu tinggi yang tidak dapat digambarkan. Lihat bagaimana perkataan Umar Al-Khattab semasa beliau memegang batu Hajarul Aswad yang ingin diciumnya "Kalau bukan kerana Rasulullah yang menyuruh aku menciummu, nescaya aku tidak akan menciummu." Lihat bagaimana Abdurrahman Bin Auf yang menginfakkan hartanya di jalan Allah. Lihat bagaimana Bilal Bin Rabah tidak berhenti menyebut kalimah Ahad, "Yang Esa" berulang kali semasa diseksa tuannya. Lihat bagaimana perkataan Abu Bakar As-Siddiq apabila mendengar cadangan Umar untuk mengumpulkan Al-Quran, "Bagaimana mungkin aku melakukan sesuatu yang tidak pernag dilakukan oleh Rasulullah." Lihat bagaimana para Sahabat yang mempertahankan Rasulullah dalam Perang Badar sehingga ada yang putus tangannya dan jihad di medan perang. Lihat bagaimana Rasulullah berdakwah sehingga penuh darah di kasutnya demi menyampaikan kebenaran.
Kau rasa, sebab apa mereka sanggup buat semua ni? Sebab cinta yang terlalu kuat yang wujud dalam diri mereka. Sebab cinta mereka kepada Allah itu tulus dan tidak pernah sekalipun mereka membiarkan diri dan hati mereka curang kepada Allah. Tidak pernah langsung di benak hati mereka mempersekutukan Allah walau dengan apa sekalipun. Tidak pernah juga terdetik di hati mereka untuk mengada-adakan perkara atau ajaran agama yang baru yang tidak mempunyai dalil dan contoh daripada Nabi. Cinta mereka kepada Allah dan Rasul itu tulus. Cinta mereka adalah cinta yang sempurna tanpa keraguan, tanpa kekotoran, tanpa sedikitpun berpaling.
Mereka telah memberikan sepenuh hati mereka hanya untuk Allah dengan kerelaan jiwa yang ikhlas.
Cintailah dengan seikhlas hati, jika tidak Allah tidak akan memandangmu di Hari Akhirat.
"Maka jika datang kepadamu petunjuk dari-Ku, lalu barangsiapa yang mengikuti petunjuk-Ku, ia tidak akan sesat dan ia tidak akan celaka. Dan barangsiapa yang berpaling dari peringatan-Ku, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit, dan Kami akan menghimpunkannya pada hari Kiamat dalam keadaan buta.
(Surah At-Thaha ayat 123,124)
Perbaikilah jiwamu untuk mencintai Allah dan Rasulullah agar jiwamu rela dan menjadi orang-orang yang berjaya mendapat cinta daripada Allah.
Relakanlah Jiwamu.
"Kusangka hidupku
Selamanya kelam
Terbelenggu ikatan tanpa manisnya cinta
Memaksa diriku
Menapaki jalan
Arah yang tak pernah ku mahu dalam hatiku
Kini kau pun hadir
Memberi cahaya
Membangunkan ku dari suramnya mimpi ngeri
Menuntun hatiku ke palung asmara
Seakan ku hidup kembali dari matiku
Engkaulah cinta
Yang selama ini aku cari
Ku relakan jiwa
Tuk menjadi penghuni dalam sangkar hatimu
Kerna engkaulah nadi yang menghidupkan aku
Yang mampu melarutkan setiap sepi hatiku
Hati bukan untuk dimiliki
Tapi untuk dicinta dan mencintai
Kurelakan jiwaku padamu
Engkaulah cinta
Yang selama ini aku cari
Ku relakan jiwa
Tuk menjadi penghuni dalam sangkar hatimu
Kerna engkaulah nadi yang menghidupkan aku
Yang mampu melarutkan setiap sepi hatiku
Seandainya waktu
Tak pernah pertemukan aku dengan dirimu
Akan kubiarkan mati hatiku selamanya
Hingga kau datang membangunkan aku
Ku relakan jiwa
Tuk menjadi penghuni dalam sangkar hatimu
Kerna engkaulah nadi yang menghidupkan aku
Yang mampu melarutkan setiap sepi hatiku."